<< September 2020 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30


Ingin berurusan dengan saya. Silakan...

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Friday, August 22, 2014
School/Class Pledges

I am somebody.
The me I see is the me I'll be.
I can be respectful, responsible and resourceful.
I can succeed.


I am in school to learn.
I will follow the directions of my teachers.
I will not say unkind things to others.
I will report problems to the teachers.
I will try my very best.
I am in school to learn.


I make mistakes so I can learn.
I learn so I can succeed.
I succeed so I can help others.


I pledge to show my respect
by listening to others,
using my hands for helping,
caring about others feelings,
and being responsible for what I say and do.


I am wonderful.
I am good at learning.
And I like to learn.


Posted at 09:13 am by kamashara
Make a comment  

Tuesday, December 08, 2009
Amalan dan Kepercayaan Masyarakat Melayu: Renungan!!!

Mengapakah berlaku? Adakalanya bertentangan dan adakalanya tidak seiringan dengan tuntutan Islam itu sendiri? Mungkin perkara-perkara yang dijelaskan ini boleh membawa satu persepsi tentang amalan dan kepercayaan masyarakat Melayu. Antaranya....

 

1.       Penerimaan orang Melayu tentang konsep ketuhanan yang ada pada sultan.

Ia menyentuh kosep daulat dan derhaka serta tulah. Kepercayaan yang sultan mempuunyai kekuasaan luar biasa dan selalunya dikaitkan dengan aspek ketuhanan. Maka timbul unsur hak sultan dalam agama.

2.       Pensenyawaan unsur Islam dan Hindu

Unsur-unsur yang menjadi amalan agama Hindu diberi nafas baru dalam Islam. Sebagai contoh:

Dalam majlis perkahwinan disenyawakan amalan seperti tepung tawar, berinai, bersanding, dan lenggang perut. Kalau dalam Hindu ia berkaitan dengan agama, tetapi diubah konseop menjadi adat dan budaya kepada masyakarat Melayu.

Majlis Kematian: Diadakan kenduri 3,7,40 dan 100 hari. Dengan tujuan untuk mengingati jenazah. Dalam kepercayaan Hindu hari-hari tersebut ada bahagian-bahagian mayat yang pecah.

Majlis perayaan: Memasang pelita. Dengan harapan malaikat akan berkunjung ke rumah dalam hindu dewa. Walaupun begitu kesedaran agama Islam menyebabkan konsep ini ditukar kepada kemeriahan dan sebagai satu adat dan budaya.

3.       Cara pendakwahan

Cara dakwah disebarkan dan kerelaan anutan agama Islam. Pendakwahan menggunakan aspek hiburan seperti dalam wayang kulit, mak yong, main puteri dan lain-lain hiburan tradisi yang masih mempunyai unsur kehinduaan.

Dalam menentukan ia tidak ke arah syirik maka istilah dan bentuk upacara ditukarkan kepada unsur-unsur Islam seperti bacaan ayat suci dan tujuan diadakankan agar mendapat rahmat daripada Allah swt.

Penerimaan Islam oleh masyarakat Melayu bukan kerana kefahaman mereka, tetapi kerana ikutannya dengan wibawa Sultan. Oleh sebab itu, proses pendakwahan dan pengembangan ajaran dan sebaran agama ini banyak dilakukan di istana-istana.

Proses melambatkan proses mengubah konsep Hindu untuk digantikan dengan konsep dan amalan Islam.

4.       Konsep agama dan kepercayaan yang dicampuradukan.

Konsep agama dan kepercayaan yang bercampur aduk hingga mengelirukan masyarakat. Masyarakat menganggap seolah-olah kepercayaan itu adalah sebahagian daripada agama sedangkan ia berbeza.

Mohd Taib Othman mendefinisikan agama sebagai satu amalan cara hidup yang berorganisasi dan bermatlamat, dan kepercayaan sebagai satu pernyataan tentang sesuatu perkara untuk dipercayai.

Masyarakat Melayu tidak memisahkan konsep ini hingga kelihatan agama dan kepercayaan itu sama.

5.       Pengaruh adat dan budaya masyarakat.

Masyarakat Melayu amat berpegang kepada konsep biar mati anak jangan mati adat. Oleh sebab adat-adat Melayu banyak bertentangan dengan Islam maka proses menukarkan adat ini perlu dijalankan dengan hati-hati. Oleh itu adat yang dirasakan tidak bertentangan dengan Islam secara langsung masih diterima cuma aspek kepercayaan keagamaan disishkan secara berhati-hati dengan amalan Al Quran dan sunnah Nabi saw.

Keadaan ini adalah berikutan berlakunya proses pensenyawaan, reintperetation  dan  rearrangement.

6.       Proses pemberian makna baru ( reintepretation ) dan pengaturan dengan cara baru ( rearrangement ).

Apabila wujud konflik antara amalan, adat dan agama masyarakat Melayu menggunakan proses-proses ini untuk diteruskan amalannya. Ini seterusnya berlaku pensenyawaan terhadap alan dan kepercayaan.Sebagai contoh:

Konsep penunggu ditukar kepada konsep keramat.

Konsep hantu ditukar kepada konsep syaitan

Istilah Dewata Raya ditukar kepada Allah swt.

 

Oleh itu  walau agama Islam telah tersebar luas di Malaysia,   tetapi  cara penyebaran dan pemahaman tentang Islam masih dipengaruhi oleh kepercayaan    dan amalan agama hindu/buddha/tantrik.   Oleh demikian bagi mengatasi permasalahan ini pemahaman tentang Islam mesti dipertingkatkan dan unsur-unsur bidaah yang bertentangan dan menjadi adat dalam kehidupan orang-orang Melayu perlu disisihkan.    


Posted at 04:11 pm by kamashara
Comment (1)  

Monday, December 07, 2009
Batu Putih: Satu Pandangan Penghakiman ICJ.

Sebab Penyerahan

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih. Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api. Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, ia  menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut. Secara terang dan nyata ia bermaksud Pulau Batu Putih ialah milik Singapura. Oleh itu , mahkamah telah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih. Fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, Singapura boleh menuntut Pedra Branca. Walaupun ia dibantah oleh Malaysia dengan menyatakan bahawa Pemangku SUKJ tidak mempunyai kuasa terhadap surat tersebut, tetapi mahkamah telah bertindak disebaliknya. Mahkamah menerima hujahan Singapura bahawa berdasarkan isi kandung surat tersebut Johor telah menyerahkan kedaulatan dan pulau itu kepada British yang kemudiannya diwarisi oleh Singapura.

Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata. Perkara ini dapat dilihat melalui tindakan –tindakan yang diambil oleh Singapura. Antara tindakan yang telah dilakukan oleh Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.

Ini jelas memperlihatkan bahawa Malaysia, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850. Ia lebih menyerahkan tindakan tersebut kepada British yang kemudiannya diwarisi oleh pemerintahan Singapura hingga kini. Keadaan ini lebih jelas lagi apabila keputusan mahkamah memihak kepada Singapura yang didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih. "Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih. Inilah yang dinilai oleh ICJ iaitu unsur ketuanan dan kedaulatan yang ditunjukkan oleh Singapura dalam mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih .

ICJ juga melihat akan kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu. Kita harus memahami bahawa tanda kepada kedaulatan sesebuah negara antaranya ialah lambang kepada negara itu. Ini ditunjukkan dan dibuktikan oleh Singapura dengan pengibaran panji-panji British yang kemudiannya Singapura di pulau tersebut. ICJ membuat keputusan apabila sepanjang tempoh sebelum 1980 Malaysia tidak pernah membuat bantahan terhadap perlakuan British dan kemudiannya Singapura. Keputusan yang diambil oleh ICJ itu didokong oleh tindakan Malaysia sendiri. Ini dapat dijelaskan melalui tindakan Malaysia mencetak enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan 'Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih. Hal ini, menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan. Persoalannya adakah Malaysia cuai atau Malaysia mengakui Pulau Batu Putih memang hak Singapura.

Oeh yang demikian mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain oleh Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura. Yang penting Singapura telah berjaya membuktikan bahawa mereka ialah tuan dan bukannya Malaysia, walaupun asalnya Pulau Batu Putih itu milik Malaysia.

 

Kegagalan Malaysia

Kegagalan Malaysia untuk menunjukkan bahawa ia berkuasa mentadbir dan menjadi tuan di Batu Putih

            Tuan bermaksud orang lain perlu mendapatkan kebenaran setiap kali ia berurusan berkenaan harta dan kepunyaan dan kedaulatannya.Tuan boleh menghalang orang lain membuat sesuka hati tanah milikan tuan.Malaysia gagal sebagai tuan bagi menghalang aktiviti Singapura dalam wilayahnya sehinggakan ia menjadi penyokong kuat kepada surat SUKJ 1953. Malaysia tidak sepatutnya mendapatkan kebenaran Singapura untuk memasuki perairan Batu Putih, tetapi ia berlaku sebaliknya.

Maklumat berkenaan undang-undang tidak memihak Malaysia apabila ICJ menerima alasan Singapura yang Pemangku S/U Kerajaan Johor boleh menjadi wakil Sultan Johor dan menerima surat 1953.

Ikut sejarah banyak kali kedaulatan Sultan tidak dipatuhi seperti Perjanjian Sultan Hussin Shah dan Stamford Raffles. Sultan Hussin bukan Sultan Johor yang berdaulat kerana ia ditabalkan oleh Inggeris dan tidak mengikut adat istiadat pertabalan Melayu. Di Pahang Bendahara Wan Ahmad juga asalnya bukannya sultan tetapi keturunan Bendahara juga telah menandatangani perjanjian dengan Inggeris. Bendahara ialah pembesar empat Kerajaan Johor yang berpusat di Riau.  Perjanjian sementara antara Temenggung Abdul Rahman dengan Stamford Raffles (28 Januari 1819) tetap berkuatkuasa dan dipatuhi. Untuk mengesahkannya maka Sultan Hussin Shah dibawa ke Johor untuk ditabalkan dengan sokongan British. Maka berpecahlah empayar Johor kepada dua kuasa Eropah iaitu , satu dibawah kuasa British dan satu lagi dibawah kuasa Belanda. Sebab itu ICJ tidak memihak hujah Malaysia. Surat SUKJ 1953 ialah surat yang paling terkini dan menyebabkan lain-lain surat dan perjanjian sebelumnya tidak begitu berfungsi dalam kuatkuasa undang-undang. Jika ia berfungsi sudah tentu Singapura gagal menggunakan hujah ini. Persoalan tentang siapa yang berkuasa menanda tangani tidak menjadi persoalan oleh ICJ, tetapi yang menjadi persoalan ialah jawapan yang jelas, terang dan nyata. Walaupun pada Malaysia ia satu bentuk kesilapan pentadbiran , malangnya selepas surat itu ditulis tidak ada bantahan Johor tentang kegagalan Pemangku SUKJ untuk mendapatkan kepastian dan titah daripada Sultan Johor. Mengapakah Pemangku SUKJ memberikan jawapan itu, hanya beliau sahajalah yang tahu. Yang pasti hujah itu digunakan dengan sebaiknya oleh Singapura sehingga menyakinkan ICJ untuk berpihak kepada Singapura dalam tuntutan Pulau Batu Putih. Sebab itu ICJ menyatakan bahawa Johor sedia maklum bahawa pada 1953 , Pulau Batu Putih ialah milik British dan kemudiannya Singapura.

Kesilapan Malaysia dalam mempamerkan peta sebelum 1979 yang mengakui Batu Putih adalah milik Singapura. Peta 1962 hingga 1975.

Sepatutnya semasa Singapura berada dalam Malaysia kerajaan Malaysia sepatutnya telah mempamerkan bahawa Batu Putih adalah milik Johor.Ini adalah peluang yang paling baik untuk mengurangkan bantahan Singapura kerana ia sebahagian daripada Malaysia pada waktu itu. Adakah selama ini Malaysia memang mengakui Batu Putih memang milik Singapura? Dan ia dituntut kerana kawasan nelayan tradisi dihalang oleh pasukan keselamatan Singapura!! Adakah ia satu isu politik? Apapun yang berlaku kini Pulau Batu Putih adalah milik Singapura. Kenapa ? Ia gara-gara kesilapan kita yang bertahun telah mempamerkan kepada dunia bahawa dalam peta kita, kita akui bahawa Pulau Batu Putih ialah milik orang lain. Kenapa kita menyatakan begitu. Kenapa hanya selepas 1979 baru kita hendak perbetulkan kesilapan yang kita buat. Kenapa sehingga enam peta?. Inilah hakikat yang dibuat oleh ICJ yang kemudiannya memperlihatkan bahawa Malaysia memang sedia maklmum bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor dan Malaysia. Inilah harga kecuaian kita. Sejarah tetap sejarah. Peta yang dipamerkan ialah sumber bagi sejarah. Ia sumber pertama yang tidak boleh diketepikan dalam mencari jawapan tentang persoalan sejarah. Maka peta yang kita sendiri membuatnya telah menikam kita. Kita gagal mempertahankan kenapa ada perkataan Singapura pada titik koordinasi Pulau batu Putih. Inilah persoalan dan pegangan  ICJ yang membuktikan bahawa Malaysia mengakui Pulau batu Putih itu memang milik Singapura.

 

Malaysia membiarkan Singapura menggunakan wilayah yang dikatakan haknya dalam menentukan hala tuju perkembangan dan keselamatan perairan, udara, dan pelayaran kapal.

Malaysia sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh setiap perkara yang berlaku seperti pelanggaran kapal dan bukan menyerahkan kepada jirannya untuk menjalankan penyiasatan. Jika Malaysia perlukan bantuan ia sepatutnya mengutuskan surat bagi  mendapatkan bantuan dan membenarkan Singapura untuk membantu dan bukannya membiarkan Singapura bertindak sendirian. Malaysia juga sepatutnya membantah dengan keras kerana pulau tersebut untuk rumah api sahaja bukannya untuk strategi ketenteraan. Malaysia gagal bantah pembinaan radar tentera dan penghantaran strategik ketenteraan sekitar pulau tersebut. Hujah Malaysia bahawa Singapura dibenarkan mentadbir rumah api tetapi Singapura telah bertindak lebih daripada itu tanpa bantahan keras Malaysia.

Kegagalan Malaysia menggunakan gambar yang diambil untuk menunjukkan jarak Batu Putih dengan perairan Malaysia.

Apabila dibantah Singapura dengan menunjukkan bandingan gambar yang diambil secara biasa menunjukkan Malaysia cuba mengkaburi ICJ dengan gambar yang menggunakan kuasa 7 kali zoom kamera. Mungkin ia menjejaskan kredibiliti hujahan Malaysia yang cuba mendapatkan simpati ICJ dan Malaysia menyatakan ia mengambil gambar itu dari sumber internet, tetapi tidak Singapura.

Malaysia gagal menghujahkan yang Singapura ialah pentadbir rumah api dan bukannya tuan di Batu Putih.

Ini berlaku kerana Malaysia tidak bertindak sebagai tuan dan mengenakan syarat  kepada Singapura seperti Singapura mengenakan syarat dan bertindak sebagai tuan di Batu Putih. Tidak seperti Pulau Pisang , Johor mengeluarkan gran tanah milikan masyarakat di pulau itu. Malaysia juga gagal mentafsirkan erti kawan dalam politik dengan membiarkan Singapura bertindak sendirian dan tidak pernah menyekat dengan andaian Singapura faham itu hak Malaysia, tetapi ia berlaku sebaliknya.Sebab itu, di Pulau Pisang kini, Malaysia meminta Singapura melaporkan kehadirannya di Pulau tersebut dan menghalang pasukan keselamatan Singapura mengawal perairan Pulau Pisang. Oleh sebab itu dalam penghakiman yang dibuat oleh ICJ mereka tidak melihat Singapura sebagai pentadbir rumah api sahaja , tetapi ia melihat Singapura sebagai pemilik kawasan Pulau Batu Putih. Sebab itu dalam kita menjadaikan diri kita tuan, kita perlu menunjukkan kedaulatan kita bukan kita mengikut atau menjadi pak turut kepada mana-mana kuasa. Inilah yang berlaku kepada kita. Kekuatan yang ada pada Singapura bukan kerana mereka bijak daripada kita tetapi bijaknya British dan ambil mudah pemimpin kita dalam menangani isu kedaulatan negara. Inilah kesempatan yang diambil oleh Singapura.

 

Kesan Keputuasan ICJ

Berdasarkan keputusan yang telah dibuat  oleh ICJ ia telah membawa satu lembaran baru dalam hubungan dua hala Malaysia – Singapura. Dalam keadaan ini kita boleh menilai bahawa akan wujud implikasi yang menguntung atau merugikan kedua-dua pihak. Bagi Malaysia sesuatu yang dianggap untung ialah nelayan-nelayan kita di Johor tidak lagi tertakluk kepada  rondaan tentera laut Singapura yang sebelum ini berkawal 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu. Walaupun masih tidak boleh mendekati Pulau Batu Putih namun nelayan dan semua rakyat Malaysia kini bebas ke Middle Rocks dan perairan sekitarnya. Dengan kata lain nelayan kita bebas mencari rezeki dan tidak lagi dihalang dan ditekan oleh pasukan keselamatan Singapura. Ini mencetuskan penambahan rezeki dan meningkatkan pendapatan nelayan Johor.

Walaupun begitu kita juga harus akui bahawa kita selama ini melakukan kecuaian sehingga menyebabkan pulau itu hilang secara rasminya. Mengapa ini berlaku? Ini adalah kerana sejak lebih 100 tahun telah mengabaikannya. Maka kini kita baru sedar dan mula hendak bertindak mempastikan pulau-pulau dinamakan dan dipantau. Kita mula hendak menandakan dan menunjukkan bahawa kita adalah tuan pada pulau-pulau yang kita abaikan. Inilah hikmah dan kesannya. Rupa-rupanya selama ini kita memang cuai dalam menjaga kedaulatan negara kita tetapi tidak Singapura.

Selain itu kita juga bebas menggunakan ruang udara, dasar laut, menjalankan pelbagai kajian serta meletakkan juga kapal peronda tentera laut sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kehadiran pasukan peronda di situ. Selama ini kita gagal dalam melaksanakan tanggungjawab kita. Kenapa? Ini disebabkan kita gagal menjadi tuan. Kita gagal menegakkan kedaulatan kita di perairan Batu Putih.

Begitu jugalah, keputusan yang ibuat ICJ juga telah menghapuskan  kebimbangan mengenai wujudnya satu lagi rejim maritim yang boleh menjejaskan sempadan serta bidang kuasa maritim sedia ada di antara negara ini dengan Indonesia . Melalui keputusan ini jelas apabila Middle Rocks kekal milik kita. Ini secara tiak langsung mengurangkan tekanan Indonesia untuk memiliki pulau itu. Harus juga diingat bahawa jarak Middle Rock dengan Indonesia lebih hampir daripada Malaysia.

Singapura yang telah memasang peralatan komunikasi  radar di Pulau Batu Putih mungkin terpaksa memikirkannya semula kerana ia memberi kesan kepada Middle Rocks yang kini telah disahkan tuannya.

Tindakan republik itu menjalankan kawalan 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu sejak tahun 1986 dengan hasrat untuk menjadikan wilayah di sekitar sebagai kawasan larangan kini terpaksa dihadkan kepada Pulau Batu Putih sahaja. , kita telah dapat mengehadkan keupayaan Singapura untuk bertindak secara bebas dalam kawasan itu termasuk menjalankan kerja-kerja menambak yang menjadi matlamat mereka.

Yang pasti Singapura kini tidak lagi bersendirian di Pulau Batu Putih. Republik itu kini mempunyai jiran yang amat rapat dan semestinya bagi menjaga kawasan kejiranan, Malaysia dan Singapura akan bertindak memakmurkan jiran dan bukannya menyakiti jiran.

Malaysia sepatutnya mulai mengambil langkah berhati-hati yang lebih ekstrem dalam apa juga perkara yang dilakukan bersama Singapura. Sebagai contoh, sebarang keputusan dalam Iskandar Malaysia mesti dilalui proses berhati-hati dan telus.

Kita sepatutnya berwaspada agar kita tidak memperlihatkan bahawa ia menjadi kesimpulan, sebagai contoh dalam 50 tahun justeru Malaysia dan Singapura mempunyai kedaulatan bersama dalam kawasan Iskandar Malaysia. Perkara itu mungkin nampak terlalu jauh, namun ia mungkin boleh berlaku jika perbincangan tertutup dan saluran pintu belakang dilakukan.

'Berdasarkan pengamatan dan kajian terhadap kedudukan South Ledge, Malaysia amat yakin akan memperoleh satu lagi bentuk maritim menjadikan aktiviti di perairan tersebut lebih luas. ICJ dalam keputusannya memutuskan bahawa kedudukan South Ledge hendaklah ditentukan menerusi rundingan antara Malaysia dan Singapura bagi menentukan di perairan negara mana ia terletak.


Posted at 11:01 pm by kamashara
Make a comment  

Darurat 1948-1960

Selepas tentera Jepun menyerah diri, gerila-gerila komunis keluar dari hutan dan mengambil alih kuasa di beberapa kawasan. Namun demikian dalam beberapa minggu berikutnya pihak pentadbiran Tentera British (BMA) telah mengambil alih kuasa bagi kerajaan British. Pada masa yang sama Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) dibubarkan. Anggota-anggotanya seramai 6,800 orang telah menerima wang sebanyak $350/- seorang semasa menyerah senjata api mereka.

Sehubungan ini PKM cuba mendirikan sebuah negara komunis di Tanah Melayu. Dengan itu anggota PKM mina meresapi pelbagai pertubuhan politik, belia clan kesatuan sekerja di samping bergiat cergas dalam PKM yang masih halal ketika itu. Setelah mendapat arahan dari Comintern dan merasakan perjuangan cara politik telah gagal, PKM mengalih corak perjuangan dengan pemberontakan bersenjata, iaitu sejajar dengan prinsip perjuangan Mao Tse Tung yang lebih yakin kepada perjuangan kekerasan bersenjata.

PKM pimpinan Chin Peng (yang mengambil alih dari Loi Teck yang menghilangkan diri dengan sejumlah wang) mina melancarkan keganasan mulai pertengahan tahun 1948. Mereka membunuh pengurus-pengurus bangsa Eropah, memusnahkan pokok getah dan lombong, menyerang balai-balai polis dan anggota-anggota pasukan keselamatan. Untuk melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, mereka menjalankan operasi bumi hangus.

Setelah keadaan menjadi begitu buruk, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara mulai tahun 1948. PKM juga diharamkan.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memerangi komunis di seluruh negara. Satu langkah utama ialah dengan menyelaras gerakan ketenteraan, menempatkan semula orang-orang Cina ke kampung-kampung baru, memperkenalkan kad pengenalan, perintah berkurung, menjalankan perang saraf dan operasi psikologi, selain meningkatkan keberkesanan pengumpulan inteligen tentang komunis. Untuk tujuan akhir ini suatu Cawangan Khas yang diletakkan di bawah kawalan Pasukan Polis ditubuhkan.

Oleh kerana masalah pemberontaki adalah masalah dalam negara Polis P Tanah Melayu diberikan tanggungjav untuk mengawalnya. Di kemuncak k komunis (1950), Pasukan Polis dengar 161,281 - 31,164 anggota polis tetap, 44,117 dan 86,000 polis bantuan merupaka pasukan keselamatan yang terbesar kerana angkatan tentera hanya mempunyai 10 batalion infantri (2 batalion Tentera British, 5 batalion Tentera Gurkha dan 3 batalion Askar Melayu).

Pasukan Polis bertindak dan memainkan peranan utama dalam merancang strategi untuk menentang komunis. Pasukan Polis memburu dan menghapuskan komunis di hutan, di desa dan juga di Bandar. Dalam usaha menjayakan gerakan menentang komunis, Cawangan Khas (Special Branch) selaku badan perisikan Utama Negara telah bertindak dengan tangkas dan cekap. Pihak polis juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan Perang Saraf terhadap komunis. Peranan Pasukan Polis dalam masa darurat adalah amat jelas jika dilihat pada jumlah anggotanya yang terkorban iaitu seramai 1,346 berbanding dengan Pasukan Keselamatan yang lain hanya 519 sahaja. Setelah merasakan dirinya bagitu lemah PKM mengundurkan saki bald tenteranya ke kawasan sempadan persekutuan Tanah Melayu - Thailand. Dari sana PKM berusaha mengumpulkan dan memulihkan semula kekuatannya.

Diambil dari Laman Polis Diraja Malaysia. - Untuk renungan bersama.





Posted at 08:09 am by kamashara
Make a comment  

SISTEM PEMERINTAHAN BERAJA DI ASIA

 

P

emerintahan dalam masyarakat Asia sebelum pengaruh Barat muncul disandarkan kepada sistem beraja. Dalam sistem ini masyarakat memberikan kesetiaan yang tidak berbalah bahagi kepada raja. Kedudukan raja amat dihormati dan menjadi suatu keramat kepada rakyatnya. Dalam menilai dan mengkaji sistem ini ia dapat dinilai melalui konsep raja dari sudut pandangan rakyat.

            Melalui konsep yang dipegang, rakyat melihat raja mereka sebagai individu manusia yang lain daripada  manusia yang lain. Raja dilihat sebagai individu yang penuh keramat dan kesaktian. Raja mempunyai kuasa yang tidak ada tandingan dengan manusia lain. Keadaan seperti ini dapat dijelaskan melalui konsep ketuhanan atau kekuasaan ketuhanan yang ada pada raja. Dengan kata lain penghormatan rakyat terhadap rajanya bergantung pada kekuasaan ketuhanan yang ada pada raja itu. Dengan kepercayaan bahawa raja itu, sama ada ialah tuhan, anak tuhan, mempunyai kuasa tuhan atau individu lindungan tuhan, raja menjadi objek sama ada untuk disembah atau menurut segala arahan  atau titahnya. Melawan atau cubaan memberontak menjadi satu kesalahan besar dan boleh menyebabkan mereka yang berkelakuan seperti ini disumpah atau dimurkainya. Kemurkaan raja ini dianggap sebagai kemurkaan tuhan dan individu yang melanggar kepercayaan ini akan mendapat kecelakaan. Kepercayaan seperti ini telah meletakkan raja dalam situasi yang selesa dan sentiasa mendapat kepatuhan daripada rakyat.

            Keadaan seperti ini dapat digambarkaan melalui kepercayaan masyarakat Jepun yang percaya bahawa keturunan kemaharajaan Jepun daripada keturunan Amaratsu iaitu keturunan Dewi Matahari. Kedewaan maharaja Jepun menjadi masyarakat Jepun percaya maharaja mereka mempunyai satu kekuasaan terhadap rakyat dan negara Jepun. Begitu juga dengan kedudukan raja-raja Burma. Siam, dan Indocina. Raja-raja mereka dihubungkan dengan kesucian dan pengaruh Buddha Theravada. Mereka percaya bahawa bahawa kedudukan raja akan membantu mereka untuk mendapatkan kebahagian di dunia masa kini dan mendatang. Malahan bagi rakyat Burma, kedudukan dan kawasan istana raja dianggap suci. Rakyat perlu menundukan kepada mereka, membuka kasut, dan mematuhi peraturan istana bagi  menghormati kesucian istana yang dianggap sebagai lambang kesucian dan ketuhanan. Sifat-sifat ketuhanan yang ada pada raja-raja ini membolehkan mereka dihormati lebih daripada individu manusia lain dan membolehkan mereka menjalankan pemerintahan dan pentadbiran tanpa banyak penentangan daripada rakyat. Keadaan ini ditambah dengan pengaaruh golongan cerdik pandai agama seperti para sami yang mendapatkan kedudukan yang tinggi selepas maharaja.        Keadaan ini juga berlaku kepada Raja Siam yang menganggap dirinya sebagai raja segala raja ataupun divine kingship. Kedudukannya dihubunkan dengan kesucian agama Buddha dan membolehkan kedudukan raja Siam mengatasi lain-lain kerajaan beraja di muka bumi ini.

     Jika Maharaja Jepun dianggap mempunyai kaitan dengan Dewi Matahari, Raja Nguyen di Vietnam menganggap dirinya anak tuhan atau Thein-tu. Dengan kedudukan ini raja Vietnam dianggap mempunyai hak dalam memerintah dunia. Beliau menganggap dirinya sebagai wakil kepada tuhan. Kedudukan ini membolehkan pengaruh dan kuasanya dapat dipeluaskan kepada seluruh rakyat dibawah pemerintahannya. Begitu juga dengan keturunan raja Kampucea seperti Ang Duang ( 1848 -1860 ) dan Sihanouk ( 1943 - 1970 ). Mereka  dianggap suci keturunan yang suci. Kesucian ini membolehkan mereka membina pengaruh dan kuasa dalam memerintah negara.

Melalui konsep ketuhanan ini raja-raja di Asia beperanan dalam menentukan kesejahteraan negara dan rakyatnya. Sebagai contoh, Raja Burma berperanan dalam mengembangkan agama dan menjadi penaung dalam negara. Ia juga berperanan sebagai sumber penakluk negeri dan menjadi tunggak kekuaatan ketenteraan Burma seperti yang dipaparkan oleh Alaungpaya 1800an. Kekutan negara dapat diterjemahkan dengan kekuatan yang ada pada raja. Ini dapat disimpulkan dengan kepercayaan masyarakat Burma bahawa raja mereka mempunyai satu keajaiban dan kekuasaan kerana keuapayaannya untuk mengumpulkan    gajah putih. Pengumpulan ini dianggap sebagai lambang kepada ciri-ciri luar biasa raja seperti gagah dan lambang kemakmuran negara. Gajah putih juga dikaitkan dengan sebagai simbol kedaulaan sejagat serta pengiktirafan kuasa raja oleh kuasa-kuasa ghaib. Selain itu, raja Burma juga beperanan dalam memberi pengesahan sama ada dalam sistem politik mahupun soisal. Di sinilah keunggulan yang ada pada diri raja. Tanpa pengesahan raja individu pembesar tidak boleh menjalankan pemerintahan mereka. Oleh itu semua kedudukan rakyat memerlukan pengesahan daripada raja bagi mengesahkan kuasa dan pemerintahan yang dijalankan. Raja juga berperanan dalam menentukan adat resam tempatan berkekalan dan dipatuhi. Ia juga perlu mempunyai moral yang tinggi bagi menjamin kebahagiaan rakyat di dunia dan dunia akan datang. Dengan demikian kesucian raja yang dihubungkan dengan ketuhanan perlu bagi menjamin pengekalan dan kebahagiaan itu sentiasa ada dan dinikmati oleh masyarakat.

Dalam masyarakat Vietnam, peranan raja mereka dalam pemerintahan diibaratkan sebagai punca ilmu. Selain itu ia juga berperanan dalam menentukan kemakmuran ekonomi negara dan rakyat. Ia juga dipercayai sebagai ayah kepada rakyatnya. Hal ini kerana manusia kebanyakan diberi keupayaan yang berbeza  jika dibandingkan dengan raja dan raja Vietnam memiliki kelebihan tersebut, iaitu kelebihan sebagai anak tuhan. Kelebihan-kelebihan inilah yang menjadikan raja Vietnam ditaati dan sumber kepada kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi. Kelebihan ini bukan sahaja ada pada raja di Vietnam , tetapi ia juga menjadi kelebihan kepada raja di Kampucea. Dengan status sebagai raja yang suci, raja-raja Kampucea berperanan sebagai tempat rujukan undang-undang. Malahan, apa-apa yang dikatakannya adalah merupakan satu peraturan dan mesti dipatuhi. Selain tugas tersebut, raja Kampucea juga berperanan sebagai tempat menaruh harapan kepada rakyat yang menghadapi masalah. Raja dianggap sebagai tempat menyelesaikan kesulitan kerana ia juga dianggap sebagai lambang kepada kemakmuran. Dengan kata lain tanpa raja negara akan musnah dan kacau bilau akan berlaku. Oleh itu, kepatuhan kepada kata-kata raja merupakan undang-undang dan peraturan yang harus dipatuhi.

Bagi raja Siam peranan yang dimainkannya dalam pemerintahan negara ialah raja dianggap sebagai pelindung kepada rakyat. Tanpa raja rakyat akan menghadapi kesengsaraan. Hal ini kerana raja Siam dipercayai mempunyai kuasa yang mutlak tentang semua yang ada di bumi ini. Keadaan ini bersesuaian dengan konsep divine kinship  yang ada pada raja. Dalam era pemerintahan  Rama 1, beliau telah mengeluarkan undang-undang  yang diperlukan pada waktu itu. Selain itu raja juga ialah penaung kepada agama Buddha dan beliau juga memastikan segala upacara negara dan agama dijalankan. Dalam bidang pendidikan, Rama 1 menggalakkan kesusasteraan rakyat serta telah mengubahsuai tradisi yang diamalkan dalam era Ayudhya seperti undang-undang cerai, kesusasteraan, sejarah, undang-undang agama, dan istiadat negara. Beliau juga telah melaksanakan revolusi senyap yang mementingkan intelek manusia bagi menentukan nasib negara. Dalam pemerintahan Rama 2 dan 3, mereka telah berperanan dalam menentukan keamanan negara disamping meneruskan usaha Rama 1 dengan berperanan dalam pelaksanaan upacara negara serta memperkembangkan keintelektualan masyarakat di samping mempertahankan negara daripada tekanan pihak luar. Keadaan dan kebolehan  raja Siam dalam menjalankan pemerintahan dapat dikaitkan dengan kekuasaan yang ada pada rajanya dengan mengumpulkan gajah putih iaitu satu lambang kebebasan raja dalam mendapatkan dan menjalankan pemerintahannya.

Bagi masyarakat Jepun walaupun raja dianggap mempunyai unsur ketuhanan, tetapi ia dapat dimanipulasikan oleh Shogun. Dalam hal ini raja Jepun hanya berperanan dalam melaksanakan upacara sahaja, tetapi tidak dalam hal politik jika  dibandingkan dengan raja-raja di Burma, Siam, Vietnam, dan Cina. Aspek politik banyak diiitentukan oleh Shogun yang memerintah melalui keesahan raja. Segala bentuk perrjalanan dan pemerintahan negara dijalankan oleh Shogun. Malahan raja dihalang daripada bertemu dengan pembesar lain dan rakyat. Ia hanya boleh dilakukan jika mendapat kebenaran dan iringan Shogun Tokugawa sahaja. Walaupun dalam aspek ini kelihatan Shogun lebih berkuasa, tetapi raja tetap berperanan sebagai ketua negara dan kerajaan. Hal ini kerana Shogun masih memerlukan raja, kerana tanpa raja Shogun tidak boleh berkuasa. Ini berikutan daripada kepercayaan  rakyat bahawa raja memberikan kuasanya kepada Shogun untuk memerintah. Shogun pula memanipulasikan kedudukan raja bagi memberikan hak kepadanya untuk mentadbir Jepun. Keadaan ini kerana raja Jepun dianggap mempunyai kesucian dan ada hubungan dengan dewi matahari. Pemberian kuasa kepada Shogun oleh raja melambangkan pemberian kuasa dewi matahari kepada Shogun. Dengan kata lain, raja Jepun ialah sumber kedaulatan dan bukannya sumber kuasa dalam pentadbiran. Shogun pula memperguna kedudukan ini bagi mendapat taat setia daripada rakyat dan pembesar  supaya mereka tidak menentang dan memberontakan terhadapnya. Kedudukan ini membolehkan keluarga Togukawa mengawal pemerintahan dan mentadbir Jepun lebih daari 200 tahun, jika dibandingkan dengan rakan-rakannya – Nobunaga dan Yoritomo.

Bagi maharaja Cina ia masih mengawal dan mentadbir  serta menjadi nadi penting dalam pemerintahan Cina. Maharaja mempunyai kuasa penuh dalam pemerintahan dan menganggap dirinya seperti divine kinship. Ia melihat orang lain tidak bertamadun jika dibandingkan dengan Cina. Keadaan di India dan Indonesia pula raja-rajanya didapati kehilangan banyak kuasa. Segala kuasa mentadbir telah diambil oleh pihak penjajah. Walaupun pada peringkat awalnya mereka seperti raja-raja Asia yang lain, tetapi kebijaksanaan penjajah Eropah telah menyebabkan mereka kehilangan kuasa melalui perjanjian dan kekalahan dalam peperangan. Dari segi konsep, rakyat masih melihat mereka mempunyai hubungan dengan tuhan. Bagi Indonesia rajanya pada awalnya dikaitkan dengan amalan dalam Hindu, Buddha, dan kemudiannya Islam. Begitu juga, dengan raja Burma dan Vietnam yang akhirnya mereka mengikut jejak langkah dengan kehilangan kuasa di tangan penjajah Eropah.

Sebagai rumusannya raja-raja ini boleh dikatakan kesemuanya telah dihubungkaitkan dengan aspek agama. Mereka telah dilihat seperti manusia lain yang teristimewa sehinggakan segala perintahnya diikuti dan ditaati. Tanpa hubungan ini manusia raja ini berkemungkinan tidak akan dapat bertahan lama dalam pemerintahan. Unsur kesucian dan ketuhanan yang ada pada mereka telah membolehkan mereka sentiasa ditaati.


Posted at 08:04 am by kamashara
Make a comment  

Sejarah dan Anda

Sejarah merupakan satu disiplin dalam bidang kajian manusia. Sejarah dianggap sebagai suatu ilmu yang melihat perlakuan manusia dan tingkahlakunya. Oleh sebab itu sejarah dilihat sebagai ilmu yang mengkaji atau meneroka peristiwa pada masa yang lalu. Walaupun begitu ada juga pandangan yang menyatakan sejarah ialah sebahagian daripada cabang sains. Benarkah begitu? Walau apapun bentuk diperkatakan tentang sejarah , sesuatu yang tidak boleh dinafikan ialah sejarah merupakan satu pengkajian dan analisis tentang tingkahlaku manusia dan tindak tanduknya.

Oleh itu , apa yang diharapkan melalui disiplin ini ialah satu bentuk pembelajaran dan pengajaran. Ini dapat dimanifestasikan jika manusia yang mengkaji sejarah mengakui dan mematuhi unsur-unsur yang menyebabkan sesuatu peristiwa itu berlaku. Oleh demikian bagi para penuntut yang ingin mendalami keilmuan dalam bidang ini,mereka perlu peka dan mempunyai kekuatan diri untuk menelaah, memikir, menganalisis, bijak dalam merangka persoalan dan jawapan.

Bagi mengetahui dan mengkaji pensejarahan Malaysia anda boleh  melawati laman ini. Ia amat bermakna terutama kepada paa penuntut seklah-sekolah menengah di Malaysia.- Laman Sejarah.

Posted at 07:39 am by kamashara
Make a comment  

Apakah kehendak pelajar?

Salam hormat dan bertemu lagi.

Satu persoalan yang mungkin tidak terfikir oleh kita apakah kehendak pelajar apabila mereka belajar. Kita mungkin terfikirkan bahawa mereka berkehendakkan satu keputusan yang baik dalam sesi pembelajaran mereka. Adakah mereka telah menyediakan diri mereka ke arah itu. Kepada mereka yang telah bersedia ia mungkin tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah dan persoalan ialah mereka yang kurang bersedia atau yang kurang memahami, tetapi inginkan keputusan dan mendapatkan gred yang baik. Sering kali pengajar disalahkan .Mereka tidak dapat menilai apakah yang telah mereka buat untuk mendapatkan gred yang baik. Untuk itu ada yang terpaksa merayu untuk ditambahkan markah, ada yang mendengus dengan menyatakan jawapannya yang terbaik. Pada hakikatnya jawapan tersebut terkeluar daripada skema jawapan.

Kadang kala, tersenyum dibuatnya. Ialah mereka pelajar. Sepatutnya mereka datang dengan bertanya, apakah jawapan yang betul atau apakah jawapan yang mengikut skema. Ini tidak. Yang dikejarnya ialah, saya sudah hantar awal, saya telah menulis sebanyak 3 hingga 4 ribu patah kata. Sepatutnya saya tidak boleh digagalkan. Dalam hati berkata juga. Adakah untuk mendapatkan markah yang baik mesti mengikut dua kriteria tersebut.

Kadang-kadang terfikir juga dangkalnya pemikiran manusia seperti ini. Tapi itulah hakikatnya. Itulah yang ada dalam diri pelajar. Walaupun tidak semua , tetapi ia wujud. Adilkah untuk mereka diberi permarkahan yang lebih baik?




Posted at 05:04 am by kamashara
Make a comment  

Sunday, November 29, 2009
Pelajar Ponteng?

Mengapa? Apakah persoalannya? Di manakah silapnya? Adakah diri pelajar itu sendiri, atau ibubapa, masyarakat, persekitaran dan sekolah? Terlalu banyak pandangan telah diberikan. Masyarakat melihat sekolah tidak berfungsi atau kehilangan keseronokan untuk pelajar belajar. Sekolah pula melihat keadaan persekitaran dan peranan ibubapa. Persoalannya fenomena ini sentiasa berlaku dan terus berlaku. Apakah pandangan anda?Adakah anda bersetuju permasalahan ini berpunca daripada keluarga. Mengapakah tidak. Keluarga ialah anggota yang paling hampir dengan diri pelajar. Keluarga perlu mengetahui perilaku dan sahsiah pelajar.
   Orang lain luar daripada kepompong keluarga tidak mungkin dapat mengenali dengan lebih dekat. Mereka yang di luar keluarga hanya boleh menelaah dan menjangka tetapi pendidikan seterusnya ialah pada keluaarga itu sendiri. Oleh sebab itu ada keluarga yang tidak boleh menerima anak mereka dipersalahkan jika berlaku peristiwa ponteng. Mereka akan menyalahkan pihak lain. Pelbagai cara dan keadaan digunakan untuk membenarkan perlakuan  anak mereka. Inilah yang akhirnya  mencetuskan kebersalahan pihak sekolah untuk bertindak. Ini belum lagi campur tangan politik!!! Akhirnya fenomena ini dilaungkan tetapi tiada jalan penyelesaian! Adakah ini yang akan berlaku dan terus berlaku kepada generasi kita akan datang??? Tepuklah dada tanyalah iman kita!!!!!!!!

Posted at 03:03 pm by kamashara
Make a comment